Dua mesin cetak kad OKU di setiap negeri

Iklan
Hannah Yeoh (empat dari kanan) sewaktu Simposium 'Malaysia Applied Behaviour Analysis International 2019 di Universiti Sunway, di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya dua mesin pencetak kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengurangkan tempoh permohonan kad tersebut.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, buat masa ini hanya terdapat sebuah mesin mencetak kad OKU di setiap negeri dan kekurangan kemudahan itu menjadi kekangan bagi memproses kad dengan cepat apatah lagi jika mesin rosak.

Iklan
Iklan

"Pihak kementerian memandang serius perkara ini dan kita hendak selesaikan masalah ini. Kita akan pastikan setiap negeri akan ada sekurang-kurangnya atau minimum dua mesin pencetak kad OKU selepas ini.

"Kita menggalakkan pendaftaran OKU tetapi kekurangan kemudahan seumpama ini masih jadi kekangan, jadi kita kena selesaikan masalah- masalah logistik ini supaya kad OKU dapat diproses dengan cepat selepas ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium 'Malaysia Applied Behaviour Analysis International 2019 di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun hadapan juga, kerajaan akan menyediakan tambahan lima pusat pengurusan Independent Living Centre (ILC) bagi memenuhi keperluan golongan OKU berdaftar di negara ini.

Iklan

Katanya, ILC penting bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar termasuk perkhidmatan pembantu peribadi, khidmat kehidupan berdikari dan perkhidmatan sokongan.