KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam tidak akan melemahkan semangat Pakatan Harapan (PH) untuk terus bekerja kuat dalam memberi khidmat terbaik untuk rakyat.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, pihaknya menerima keputusan pengundi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan terbuka dan dengan penuh kesedaran.
"Di samping itu, kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat kecewa punca PH kecundang di Tanjung Piai
Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, DAP dan PH menerima keputusan pengundi Tanjung Piai yang bersuara bukan hanya bagi pihak mereka tetapi juga negara atas kekecewaan dan rasa tidak puas hati berikutan langkah pembaharuan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lepas.
"Keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang mengejutkan ini memberikan desakan dan kepentingan mengkaji semula langkah dan pelaksanaan pembaharuan yang dijanjikan PH khususnya yang terkandung dalam Buku Harapan, manifesto PRU14, yang mana Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji bagaimana kerajaan dapat melaksanakan semua janji dan manifesto,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad dan Kit Siang masing-masing mengulas keputusan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini.
Jeck Seng memenangi pertandingan enam penjuru PRK itu dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding Karmaine yang mendapat 10,380 undi, Wendy Subramaniam daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) (1,707), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) (850) manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).- Bernama