IPOH - Barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan perubahan sekiranya mahu mengekalkan sokongan rakyat, kata Pengarah Pilihanraya PKR Perak, Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, ini kerana berlaku kemerosotan ketara sokongan kepada pentadbiran PH dalam tempoh 18 bulan ini hingga membawa kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, semalam.
"Kita lihat selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, sokongan rakyat kepada PH pada masa itu boleh dikatakan antara 60 ke 70 peratus.
"Jadi kenapa ada kemerosotan begitu ketara dalam masa 18 bulan ini, perkara ini memerlukan kajian lebih teliti dan kenal pasti kenapa ada penurunan sedemikian," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, meskipun keputusan PRK Tanjung Piai sesuatu yang mengecewakan, ia harus dijadikan titik permulaan untuk melakukan perubahan.
"Rakyat sudah buat keputusan dan ini satu perkara yang PH perlu beri perhatian," katanya.
Mengulas desakan Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berhubung peralihan kepimpinan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, perkara itu terserah kepada Majlis Presiden PH.
"Dalam keputusan PRK ini, kita harus lihat dua perkara, pertama kemerosotan sokongan rakyat dan kedua kita telah menunjukkan satu sistem pilihan raya yang adil dan bebas.
"Walaupun kita jadi kerajaan, kita tidak boleh pastikan kita menang," katanya.
Terdahulu, Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng merasmikan Kempen Derma Darah dan Organ 2019 anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan kerjasama Persatuan Kwang Siew di lobi utama AEON Station 18 di sini hari ini.
Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menunjukkan calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.
Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH, Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.
Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.
ARTIKEL BERKAITAN BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai