Wanita hamil ketagih pil kuda dicekup bersama suami

Iklan
Pasangan suami isteri yang ditahan kerana menagih pil kuda. Foto: AADK Besut

BESUT – Seorang wanita hamil dua bulan bersama suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Cegah di sekitar Kuala Besut, Jerteh dan Hulu Besut, Besut malam tadi.

Pasangan yang tinggal di Kuala Besut itu antara 13 individu yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 11 pagi tadi kerana menagih pil kuda.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai AADK Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, ketika operasi dilakukan, wanita berusia 34 tahun itu sedang tidur bersama dua anaknya manakala suaminya bersembunyi belakang pintu.

Menurutnya, wanita mempunyai enam anak berusia setahun hingga 12 tahun itu dikatakan mula menagih dadah sejak 13 tahun lalu ketika berkahwin dengan suami keduanya yang juga penagih dadah.

Antara individu yang ditahan AADK Besut dalam operasi Cegah malam tadi. Foto: AADK Besut

Iklan

"Dia mendakwa mengambil dadah kerana tekanan perasaan dan sekarang berkongsi dadah dengan suami ketiga, juga seorang penagih yang bekerja sebagai pembuat bot fiber.

"Wanita ini mengaku mengambil sebiji dadah seminggu, manakala suaminya berusia 27 tahun mengambil dadah seminggu sekali sebanyak lima biji pil kuda,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Hasil ujian air kencing mendapati pasangan itu dan tahanan lain positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998) dan Seksyen 8(3)(a) akta sama.

Operasi itu dijalankan oleh 12 anggota AADK Besut bersama Nor Hafizza.