SHAH ALAM - DAP dan Pakatan Harapan (PH) menerima kekalahan teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam dan memandang serius mesej yang cuba disampaikan rakyat.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, mesej daripada pengundi di Tanjung Piai kini tidak lagi menumpukan kepada isu setempat sebaliknya dalam negara.
"Pengundi di kawasan itu bukan saja menyuarakannya bagi pihak mereka tetapi juga negara atas kekecewaan serta ketidakselesaan dengan fasa pembaharuan yang dibawa PH sejak pemerintahan negara beralih tampuk pada 9 Mei 2018.
"Ini akan menjadi agenda pertama kita selepas ini menerusi Jawatankuasa Kajian Khas untuk melihat dan mengkaji semula usaha serta pelaksanaan pembaharuan yang dijanjikan PH sebelum ini terutamanya manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PRK Tanjung Piai semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi.
Jeck Seng, 55, memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya daripada calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.
Empat lagi calon yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Gerakan) hanya memperolehi 1,707 undi, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dengan 850 undi serta dua calon bebas masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mengucapkan tahniah kepada Jeck Seng atas kemenangan sekaligus menggalas tugas Ahli Parlimen Tanjung Piai yang baharu.
ARTIKEL BERKAITAN Analisis kemenangan BN