KUALA LUMPUR – Seramai 24 wanita warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong, di sini semalam kerana dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO)
Penahanan membabitkan 21 wanita warga Thailand dan masing-masing dua dari Laos dan satu dari Vietnam yang berusia di antara 22 hingga 32 tahun.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang mengurus jualan kalungan bunga dan mahkota untuk aktiviti hiburan pada operasi kira-kira jam 11.20 malam itu.
Menurutnya, dua lelaki berusia 45 dan 36 tahun masing-masing pengurus premis dan penjaga kaunter juga ditahan.
"Polis juga menahan tiga lelaki termasuk pengawal di pusat hiburan terbabit,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Rohaimi berkata, premis tersebut dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu di tingkat bawah deretan rumah kedai kawasan Kepong.
"Laluan masuk ke premis berkenaan menggunakan pintu utama sahaja dan satu laluan pintu belakang untuk melarikan diri. Mereka juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pintu utama yang dikawal oleh pekerja premis berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Operasi membabitkan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.