'Gara-gara mahu ambil minyak angin jatuh'

Iklan
Keadaan lori yang dirempuh bas ekspres dalam kejadian jam 1.30 pagi.

HULU TERENGGANU - Gara-gara mahu mengambil minyak angin yang terjatuh ketika sedang memandu, seorang pemandu bas ekspres gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh belakang sebuah lori sarat membawa muatan kerusi dan meja batu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semalam di KM397.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil - Bukit Besi di sini.

Iklan
Iklan

"Pemandu bas yang membawa 30 penumpang dari arah Rantau Panjang menghala ke Johor Bahru itu dikatakan mahu mengambil balsam yang terjatuh di lantai bahagian pemandu.

"Sebaik mengambil balsam itu, pemandu berkenaan tidak sempat mengelak lori di hadapan kerana jarak yang terlalu dekat sehingga merempuh bahagian belakang lori dari arah Tumpat menghala ke Kota Tinggi itu," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Iklan

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, lori terbabit terbalik dan terseret sejauh 50 meter ke bahu jalan sebelah kiri arah Bukit Besi.

"Bas remuk pada bahagian sebelah kiri. Kesemua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan namun pemandu lori berusia 27 tahun dari Tumpat, Kelantan luka dan calar pada tangan kanan.

Iklan

"Kelindan lori berusia 19 tahun pula mengalami luka pada lutut dan siku serta sakit pada bahagian belakang," katanya.

Keadaan lori yang dirempuh bas ekspres dalam kejadian jam 1.30 pagi.