SEREMBAN - Isu komunikasi dikesan sebagai penyumbang terbesar yang menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.
Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kegagalan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial menyebabkan rakyat termasuk pengundi di Tanjung Piai tidak dapat melihat kejayaan PH mentadbir kerajaan dalam tempoh setahun enam bulan.
"Walaupun post mortem belum dilakukan tapi bila saya berkubu di sana (kempen), saya dapati isu paling besar adalah komunikasi tak sampai dan banyak cerita kejayaan PH tidak dapat disampaikan sedangkan ia berita gembira.
"Kekuatan media sosial kita juga perlu ditingkatkan kerana orang kampung misalnya makcik-makcik yang kita anggap tidak boleh guna telefon pintar, kini sudah mahir," katanya pada sidang media Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Kali Keempat di sini hari ini.
Menurutnya, PH tidak dapat menyampaikan apa jua komunikasi kepada peringkat paling bawah menjadi antara kelemahan sangat ketara.
"Ini trend pemodenan teknologi," katanya selepas majlis yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata, isu berkaitan tulisan jawi, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) antara yang gagal disampaikan dengan baik sekali gus menimbulkan kegusaran kepada rakyat termasuk pengundi Tanjung Piai.
"Faktor kekalahan tersebut perlu diteliti dan dibincangkan dalam Majlis Presiden supaya 'ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan' yang disifatkan sementara itu, dapat dirungkai," katanya.
Terdahulu, beliau ketika berucap turut menyatakan kekalahan PH pada PRK kali ini sebagai 'loceng' amaran yang perlu diteliti dengan cermat dan tidak sesekali berbangga dengan kedudukan sebagai kerajaan ketika ini.
"Perlu dinilai adakah kita benar-benar mampu hadir dalam hati rakyat sebagai parti memerintah atas nama PH," katanya.
Selain itu, beliau berkata, meskipun tewas di Tanjung Piai, PH masih ada masa untuk terus mengorak ke hadapan, membina kembali kekuatannya kerana masih berada dalam kerajaan.