GEORGETOWN - Sebuah kapal jenis bulk carrier ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di kedudukan 6.9 batu nautika dari Barat Laut Pulau Betong di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kapal dengan nama pendaftaran ‘NASHICO 08’ sepanjang 97 meter itu didapati didaftarkan di Vietnam ketika pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 8.30 malam.
Iklan
Iklan
"Kapal dikendalikan 15 kru termasuk seorang nakhoda warga Vietnam dan dua kru warga India dan ketika diperiksa, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut serta tanpa sebarang pemakluman kecemasan.
"Semua kru termasuk nakhoda terbabit berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran pengarah laut.