WASHINGTON - Panggilan telefon antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya di Ukraine, Volodymyr Zelenskiy yang berkisar agenda politik peribadi adalah ‘tidak wajar’.
Perkara itu disuarakan Jennifer Williams yang juga pembantu Timbalan Presiden, Mike Pence berdasarkan transkrip perbualan antara kedua-dua pemimpin itu pada 25 Julai lalu yang didedahkan semalam.
Menurutnya, tindakan Trump mendesak Kiev untuk melancarkan siasatan politik yang sensitif adalah satu perkara luar biasa dan tidak wajar.
"Perbincangan mereka lebih bersifat politik berbanding panggilan telefon dengan pemimpin asing lain,” katanya.
Keterangan itu diberikan untuk menentukan sama ada pemimpin Parti Republik itu menyalahgunakan dasar asing AS untuk melemahkan bekas Timbalan Presiden, Joe Biden yang juga salah seorang pesaing berpotensi dalam Pilihan Raya Presiden 2020.
Dewan Perwakilan AS turut mendedahkan transkrip keterangan bersumpah dibuat secara tertutup oleh bekas pembantu Rumah Putih, Tim Morrison dengan Majlis Keselamatan Negara yang memfokuskan dasar Eropah dan Rusia.
"Saya tidak setuju dengan idea bahawa Zelenskiy dibenarkan masuk campur dalam politik AS,” katanya.
Menerusi pendengaran awam pertama pada minggu lalu, pemangku Duta ke Ukraine, William Taylor mendakwa Trump menunjukkan minat untuk mendapatkan sekutu di Eropah Timur tersebut untuk menyiasat Biden dan dana bantuan keselamatan berjumlah AS$391 juta (RM1.6 bilion) hanya akan diberikan jika Kiev sedia bekerjasama. - Agensi