BUKIT BERUNTUNG - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA) perlu dikekalkan
Presiden Pertubuhan Tindakan Keamanan dan Pembanteras Jenayah Selangor Kuala Lumpur, Dr V Kalaikumar berkata, tiga akta tersebut dapat mengekang jenayah kumpulan pengganas dan gangster.
Menurutnya, pendirian kerajaan untuk mengekalkan akta berkenaan perlu dilihat dari sudut positif apabila akan melakukan beberapa pindaan.
"Saya setuju dengan kenyataan dibuat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa tiga akta ini dikekalkan manakala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan dikembalikan.
"Kerajaan tidak boleh berkompromi dengan kegiatan pengganas dan gangster kerana tanpa akta berkenaan, kumpulan extremis ini akan mengambil kesempatan menggugat keselamatan negara.
"Apa yang penting, beberapa pindaan perlu ditambah baik agar tiada sesiapa yang teraniya dan perhalusi apa yang patut," katanya.
Kalaikumar berkata, antara perkara yang perlu diberi penekanan termasuk tempoh tahanan, kuasa tangkapan dan siasatan supaya tidak melanggar hak asasi manusia.
Menurutnya, pelaksanaan akta itu akan meningkatkan imej dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar lebih dihormati dalam memikul tanggungjawan menjaga keamanan negara.
"Bila ada akta ini, sesiapa sahaja tidak akan berani untuk cuba-cuba melakukan jenayah radikal kerana mereka tahu apa hukuman bakal menanti.
"Jangan beri peluang kepada penjenayah ini untuk mengancam keselamatan yang boleh merosakkan keharmonian rakyat berbilang kaum.
"Kita perlu ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini," katanya.