KOTA BHARU - Ekonomi Kelantan dijangka terus meningkat dan lebih memberangsangkan menjelang tahun hadapan berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Kelantan, Zuraidy Zainal Abidin berkata, berdasarkan statistik pihaknya, pertumbuhan ekonomi Kelantan meningkat sebanyak 2.89 peratus pada 2018.
"Terdapat sebanyak 450,000 syarikat perniagaan pada tahun tersebut termasuk bertaraf mega yang merupakan antara pemacu perkembangan ekonomi di Kelantan. Berdasarkan unjuran semasa, ekonomi Kelantan berada pada kedudukan positif dan bertumbuh dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Program Bicara Statistik 2019 Sempena Hari Statistik Negara Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Mohd Safri Ya di sini hari ini.
Program yang disertai 150 orang siswa Ijazah Sarjana Muda Statistik dan pensyarah bidang pengajian itu bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti tentang pentingnya data statistik kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Zuraidy berkata, kadar pendapatan perkapita rakyat Kelantan juga dijangka meningkat menjelang tahun hadapan berbanding RM4,000 pada 2016.
"Skop pendapatan rakyat Kelantan bukan dirujuk kepada gaji sahaja, bahkan menerusi sumber lain termasuk hasil perniagaan. Ia juga didorong kemasukan wang daripada rakyat Kelantan yang bekerja di luar negeri ini yang dikirim kepada ibu bapa atau keluarga," katanya.
Katanya, penyediaan kemudahan asas yang lebih baik termasuk pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dijangka akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan termasuk pelancongan merupakan antara sektor yang boleh diberi tumpuan oleh kerajaan negeri, selari dengan kemudahan yang disediakan kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain Zuraidy berkata, pihaknya buat pertama kali akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan banci penduduk tahun hadapan.
Katanya, berdasarkan ujuran jabatan tersebut, terdapat sejumlah 1.9 juta penduduk di Kelantan tahun hadapan dan sejumlah 500 pegawai pembanci akan dilantik bagi melakukan proses bancian. - Bernama