MELAKA TENGAH - Produk minuman bertenaga keluaran Syarikat Orang Kampung (M) Sdn Bhd (OK Group) positif untuk menembusi pasaran antarabangsa di dua negara Timur Tengah.
Pengarah Operasi OK Group, Noorhady Mokhtar, berkata, langkah memperluaskan pasaran ke Arab Saudi dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bermula pertengahan tahun ini untuk memperkukuhkan keuntungan syarikat sekali gus menambah pengguna produk mereka dalam dan luar negara.
Menurutnya, OK Group dalam proses mendaftarkan produk-produk sedia ada sebelum ia boleh dieksport termasuk perancangan sebelum ini untuk memberi tumpuan melebarkan sayap pasaran ke negara China.
"Produk (eksport) sama tapi objektif lebih kepada minuman bertenaga dan minuman segera seperti 'greentea latte,' teh serbat dan juga kita punya produk-produk losen.
"Sebelum ini syarikat yang telah lama bertapak di negara ini berjaya menembusi pasaran negara jiran seperti Singapura dan Brunei," katanya.
Noorhady berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena peraduan beli dan menang bersama Orang Kampung di Pasaraya Besar Mydin MITC di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) OK Group, Alaina Manggar.
Noorhady berkata, penganjuran majlis itu bagi menghargai pengguna yang terpilih memenangi hadiah yang ditawarkan termasuk 50 basikal OFO yang akan disampaikan di 10 pasaraya Mydin terpilih seluruh negara secara berperingkat.
Katanya, pihaknya menerima kira-kira 10,000 penyertaan bagi peraduan beli itu yang berakhir 3 Disember tahun lalu.
"Ini juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan rakan niaga seperti Mydin yang telah dibina lebih 20 tahun lalu," katanya.
Pada majlis itu turut diserikan dengan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 7 tahun dan aktiviti meneka produk OK Group.