PULAU PANGKOR - Anggota bomba berjaya menyelamatkan empat sekeluarga termasuk ibu dan anak orang kurang upaya daripada lemas selepas ternampak lambaian tangan ketika menjalani ujian perjalanan di Pantai Pasir Bogak hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor, Ab Halim Hamed Hamzah berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 9.10 pagi melibatkan seramai tujuh anggota yang sedang menggunakan sebuah jentera ketika melalui Jalan Pasir Bogak.
Menyedari keadaan itu, katanya, dua anggota telah diarah mengambil tindakan menyelamat mangsa.
"Anggota kita kemudiannya berenang menghampiri mangsa sejauh 5 meter dan menarik semua mangsa ke pesisir pantai.
"Terdapat empat mangsa terdiri daripada tiga wanita dan seorang remaja lelaki. Semuanya disahkan selamat dan telah diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini
Beliau berkata, ketika kejadian, pasukan itu keluar membuat ujian perjalanan dan pam bagi melengkapkan jadual tugasan harian balai.
"Sebaik memastikan semuanya selamat, anggota dan jentera kemudiannya meneruskan ujian perjalanan ke Teluk Nipah,” katanya.
Difahamkan, kesemua mangsa berusia antara 13 hingga 46 tahun dari Sungai Buloh, Selangor bersama ahli keluarga mereka bercuti di pulau berkenaan.
Ketika mandi di tepi pantai, remaja lelaki OKU kategori masalah pembelajaran itu hampir lemas dipercayai ditarik arus ke kawasan dalam.
Tiga wanita termasuk ibunya yang menyedari kejadian itu kemudiannya cuba membantu sebelum mereka sendiri hampir lemas.