COLOMBO - Bekas Setiausaha Pertahanan, Gotabaya Rajapaksa dipilih sebagai Presiden baharu Sri Lanka, tujuh bulan selepas siri serangan pengebom bunuh diri mengorbankan 369 nyawa April lalu.
Kolonel Leftenan (B) berusia 70 tahun yang terkenal dengan julukan 'Terminator' oleh keluarganya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Presiden dengan 52.25 peratus undi sekali gus menumpaskan saingannya Sajith Premadasa yang ketinggalan 41.99 peratus.
Keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.
"Ia adalah kemenangan yang jelas. Kami sangat gembira kerana beliau dipilih sebagai Presiden. Rajapaksa akan mengangkat sumpah esok," menurut jurucakap, Keheliya Rambukwella.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Mahinda Deshapriya berkata, peratus keluar mengundi mencecah 83.7 peratus daripada 15.99 juta pengundi yang layak.
Proses membuang undi turut dicemari keganasan yang menyebabkan beberapa orang cedera.
Melalui kempennya, Rajapaksa berjanji akan mengukuhkan keselamatan dan berikrar menghapuskan ekstremisme agama.
Difahamkan, pilihan raya itu adalah ujian populariti pertama Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) di bawah kerajaan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe yang memberi peluang penyandangnya kepada Premadasa untuk bertanding. - Agensi