KOTA BHARU - Kemenangan Barisan Nasional yang juga pembangkang di Tanjung Piai merupakan isyarat jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan referendum rakyat menolak kerajaan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan perlu sedar sebenarnya mereka gagal dalam memerintah Malaysia dan rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsu PH.
"Tanjung Piai adalah satu referendum rakyat menolak PH. Jurang majoriti yang meningkat berkali-kali ganda jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu memberikan isyarat jelas untuk diperhalusi PH.
Dalam masa sama, beliau berkata, Pemuda Ikatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat di Parlimen Tanjung Piai yang menunaikan kewajipan dengan keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat ke Parlimen.
"Keputusan memihak kepada MCA di bawah BN. Tahniah diucapkan kepada YB Wee Jeck Seng yang menang bergaya mengalahkan calon lain terutama PH.
"Tahniah juga diucapkan kepada seluruh jentera yang turun padang dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh parti-parti blok pembangkang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bersedialah jadi kerajaan tempang, tumbang'
Shahir yang juga Naib Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, kemenangan boleh dilihat dari sudut persefahaman dan kerjasama Muafakat Nasional makin teguh antara UMNO dan Pas seterusnya BN serta Gagasan Sejahtera.
Bahkan katanya, pengundi Pas menunjukkan setiakawan melalui Muafakat Nasional dan wala’ kepada arahan pimpinan tertinggi untuk mengundi BN hingga keseluruhan 2,962 undi mereka pada PRU14 diberikan kepada MCA.
"Kita dapati juga anak- muda tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda PH yang dicanang Ketua Pemuda PH, YB Syed Saddiq sepanjang berkempen di Tanjung Piai.
"Jelas, anak muda mual dan muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” katanya.
Katanya, DPIM berharap permuafakatan teguh antara blok pembangkang bakal menjadi gagasan pembangkang yang kuat demi menyuarakan denyut nadi rakyat Malaysia ke arah PRU15 yang bakal menjadi referendum besar kepada PH bahawa rakyat menolak politik palsu.