Jeck Seng angkat sumpah ahli Dewan Rakyat

Iklan
Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu Sabtu lepas, pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.

Mohamad Ariff dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada Jeck Seng yang memenangi PRK tersebut menewaskan lima pencabarnya yang lain.

Iklan
Iklan

"Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dengan bertujuan memberikan manfaat terbesar kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Ia mempunyai wibawanya sendiri dan melengkapkan cabang-cabang pemerintahan yang lain. Justeru, peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan yang bebas mesti dihayati sebaiknya," katanya.

Iklan

Mohamad Ariff turut menyatakan keyakinan bahawa Jeck Seng akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti dituntut keluhuran institusi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Analisis kemenangan BN

Iklan

Terima kasih! - Jeck Seng

Beliau berharap Ahli Yang Berhormat itu dapat memberikan sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan Rakyat serta negara dengan perkhidmatan cemerlang.

PRK Tanjung Piai menyaksikan Jeck Seng kembali merampas kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 25,466 undi, menewaskan lima pencabar lain dengan majoriti 15,086 undi.

Pencabar terdekat dari Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini memperoleh 10,380 undi, calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi serta Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebanyak 850 undi.

Dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing-masing memperoleh 380 serta 32 undi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.