KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Penampilan seorang nenek memakai baju kurung Kedah, berkain batik menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) sendirian mencuri perhatian orang ramai.
Tidak terkecuali pemilik akaun Facebook, Dzuriasikim Dzulkefli setelah bertemu secara tidak sengaja dengan warga emas berusia 83 tahun itu.
"Wanita ini bahasakan diri dia nenek. Datang ke KLCC seorang diri kerana nak berjalan.
"Nenek puas duduk rumah...nenek naik LRT.
"Ini nenek pakai baju biasa je. Baju orang pakai kat rumah. Baju tak cantik...," katanya.
Walaupun berusia namun nenek berketurunan Baba Nyonya itu kelihatan sihat, aktif malah pandai menjaga penampilannya.
"Nenek ini masih kekal sihat dan aktif. Sukanya saya tengok nenek ni. Entah kenapa terasa sayang pula. Tak tahu dari mana datang rasa sayang tu. Usianya sudah 83 tahun katanya. Pastinya beliau seorang yang sangat jelita di waktu mudanya.
"Yang paling saya suka, dia sangat bersih. Bajunya bersih. Tak berbau apa lagi berpeluh. Rambutnya bersih dan bersisir rapi. Walaupun bukan orang Melayu... Dia begitu baik dan tak kekok untuk berbual," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Dzuriasikim, nenek itu kematian suami sejak dirinya berusia 20 tahun dan sebelum dia beredar nenek itu sempat juga menitipkan nasihat kepadanya.
Nenek yang tidak diketahui namanya sempat memberi pesanan supaya tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang isteri, suami dan anak terhadap ibu bapa.
"Sekarang ni dah teruk. Ada isteri ada boyfriend lain. Tak jaga suami. Ada suami, ada perempuan lain. Tak jaga isteri. Masa muda semua tak ingat tua.
Nanti bila dah tua baru mereka ingat apa mereka buat...Adik tak kahwin pun tak apa dik..." tulisnya.
Sementara itu, pertemuan Dzuriasikim bersama nenek itu mendapat perhatian netizen yang turut mengenali warga emas itu.
Kata Atikah Ariff, nenek itu tinggal di kawasan perumahannya dan sememangnya memiliki perwatakan cukup baik, peramah dan suka berjalan kaki.
"Kecilnya dunia, memang rajin tegur orang, nasihat orang, senyum je dan pastinya dia suka jalan kaki. kalau tak nampak dia 2, 3 hari mesti tertanya-tanya, sebab dia suka tegur orang," tulisnya.
Nordiana Mohd Rodzi pula berkata,"Nenek taman rumah saya, nenek ni memang suka berjalan. Comey nenek ni, pernah bersembang dengan dia. Peramah bila bersembang. Dia tetap dengan baju kurung Kedah dan kain batik dia walau ke mana pun," katanya.