PRK Tanjung Piai: Pengundi buat pilihan tepat

Iklan
Dira Abu Zahar

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dira Abu Zahar mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi Tanjung Piai kerana membuat pilihan yang tepat dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Dira atau nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi muda yang mencipta tsunami baharu memberi kemenangan kepada BN pada PRK kali ini.

Iklan
Iklan

"Tahniah dan terima kasih jua kepada jentera BN, Pas dan komponen BN yang lain seperti MCA dan MIC, badan-badan bukan kerajaan serta individu yang mempamerkan perjuangan sebenar dan tulen bagi membantu kemenangan kita di Tanjung Piai.

"BN mendapat majoriti yang sangat besar iaitu 15,086, yakni jauh ‘meninggalkan’ calon PH (Pakatan Harapan).

Iklan

"Ia satu keputusan di luar jangkaan, namun saya percaya momentum mengejutkan ini satu isyarat jelas rakyat yang mahukan kepimpinan lebih berkebolehan serta lebih berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, kemenangan itu juga adalah kebangkitan rakyat bermula dari kumpulan peneroka dan pekebun kecil, nelayan, kumpulan peniaga kecil, pekerja swasta, penjawat awam dan orang-orang muda di Tanjung Piai yang mahukan agenda lebih jelas untuk kebajikan dan masa depan.

Iklan

"Jelas sentimen perkauman cuba dimainkan PH sudah tidak boleh diguna pakai dan sentimen agama cuba diperjudikan PH juga gagal mencakupi kemahuan rakyat di Tanjung Piai.

"Anak muda hari ini juga lebih celik dalam politik dan bijak memilih kewibawaan bukan ‘populariti’ semata-mata dalam masa sama menjadikan retorik sebagai ‘makanan’ untuk tampak relevan di mata rakyat," katanya.

Dira berkata, pastinya BN memberi satu paradigma yang lebih baik dan segar, mencakupi kebajikan setara untuk semua kaum dan masyarakat di Tanjung Piai berbanding kerajaan hari ini yang sebenarnya jelas sangat mengecewakan.

Katanya, ia akan menjadi kayu ukur kepada BN untuk fahami mesej rakyat tentang naratif sebenar BN yang lebih ‘solid’ untuk kepentingan kepelbagaian kaum di negara ini.

"Saya mohon manifestasi ini dikekalkan dan mohon tsunami anak muda untuk terus bersuara melawan kerajaan yang lemah. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Dr Wee Jeck Seng, BN, Muafakat Nasional dan rakyat Tanjung Piai.

"Kekalkan rentak merendah diri, istiqamah dan terus perjuangan kepentingan rakyat walau seberapa tinggi kedudukan kita sebagai pemimpin yang dijulang rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat dan kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat,” katanya.