TAIWAN - Seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan di bahagian mata apabila beberapa ekor lebah memasuki matanya tanpa disedari.
He, 29, berkata, dia sering mengalami sakit di bahagian mata sejak seminggu lalu hingga mengeluarkan air mata.
Menurutnya, ekoran kesakitan melampau, dia mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Fooyin.
Doktor yang merawat gadis ini terkejut apabila mendapati ada lebah pada bahagian dalam matanya.
"Saya nampak sesuatu seperti kaki serangga, jadi saya tariknya perlahan-lahan menggunakan mikroskop tanpa mencederakan mata pesakit. Ternyata ia masih hidup," kata Dr Hung Chi Ting.
He berkata, dia merasai sesuatu terbang ke arah matanya ketika menziarahi kubur ahli keluarga pada minggu lalu namun hanya sangka ia kotoran dan membilas mata dengan menggunakan air.
Bagaimanapun, kesakitan bertambah teruk pada waktu petang dan sekitar matanya menjadi bengkak.
Difahamkan lebah yang memasuki mata He itu dikenali sebagai spesis halictidae iaitu spesis yang dipercayai tertarik kepada benda masin atau garam seperti air mata dan peluh.
Imej mata He juga disiarkan secara langsung di televisyen Taiwan sebelum tular di laman sosial.
Pendedahan kisah itu membuatkan warganet tergamam kerana kebiasaannya lebah tertarik dengan madu namun lebah ini lebih kepada benda masin.
"Pertama kali saya dengar lebah suka benda masin," tulis HeoJen.
Tambah Wayhne, mujur matanya tidak buta gara-gara lebah.