Tujuh lembu mati dilanggar lori, kereta

Iklan
Keadaan lembu-lembu yang mati selepas dilanggar dua kenderaan pagi tadi.

KAMPAR - Tujuh ekor lembu yang dibiarkan berkeliaran, mati selepas dilanggar dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Batu Karang di sini awal pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu berlaku membabitkan sebuah lori jenis Hino dan kereta yang belum dapat dikenal pasti.

Iklan
Iklan
Keadaan sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan pagi tadi selepas tidak sempat mengelak sekumpulan lembu melintas jalan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, berdasarkan laporan dibuat pemandu lori terlibat, kemalangan itu berlaku apabila secara tiba-tiba sekumpulan lembu melintas dari tepi jalan sebelah kiri.

Menurutnya, disebabkan jarak yang terlalu dekat, lori terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh lima ekor lembu.

Iklan

"Perlanggaran telah menyebabkan tujuh ekor lembu tersebut mati di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu kereta masih belum melaporkan kemalangan.

Iklan

Katanya, akibat kejadian itu, lori berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, lampu pecah dan cermin hadapan retak.

"Siasatan lanjut kini sedang dijalankan," katanya.

Keadaan lembu-lembu yang mati selepas dilanggar dua kenderaan pagi tadi.

Dalam pada itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Karang, Ahmad Shaarani Abdul Khalid berkata, banyak aduan telah dibuat penduduk kampung kepada pihak berkuasa mengenai haiwan ternakan terutama lembu dan kerbau yang dibiarkan berkeliaran.

"Ini bukanlah kejadian pertama, banyak dah kes kemalangan berlaku di kawasan ini disebabkan haiwan ternakan berkeliaran, ada yang sampai cedera parah.

Difahamkan kesemua bangkai haiwan itu sudah dialihkan oleh pekerja konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR).