Bola sepak itu ibarat keluarga: Tumena

Iklan
Tumena semasa sidang media perlawanan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Malaysia Indonesia hari ini.

PENGENDALI sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengingatkan penyokong Indonesia yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil supaya tidak mencetuskan provokasi dalam perlawanan kelima Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

Menurutnya, bola sepak itu ibarat keluarga dan tidak seharusnya berlaku pergaduhan yang boleh mengeruhkan suasana dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Bola sepak itu adalah keluarga.Di mana pun selepas perlawanan itu, kita akan bertemu juga.

"Perlawanan itu hanya 90 minit dan selepas itu kita tetap saudara walaupun di mana kita berada," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Iklan

Dalam perlawanan pertama Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kekecohan dicetuskan penyokong Indonesia dalam aksi di Stadium Gelora Bung Karno yang menyaksikan skuad negara menang dengan keputusan 3-2.

Mengulas mengenai kehadiran puluhan ribu penyokong Malaysia yang akan memenuhi stadium esok, Tumena menyifatkan ia bukan masalah besar buat pasukan kendaliannya.

Iklan

"Dengan keadaan stadium yang penuh, saya rasa ia akan jadi perkara positif buat kami. Di Indonesia pun kami sudah biasa bermain di hadapan penyokong yang ramai.

"Bukan sahaja di peringkat antarabangsa, tetapi di kelab juga pemain sudah biasa bermain di hadapan puluhan ribu penyokong.

"Jadi, kami rasa tekanan yang diberikan penyokong Malaysia memberikan semangat kepada pemain kami," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi Harimau Malaya apatah lagi mempunyai waktu yang cukup untuk melakukan persediaan.

"Kami juga sudah melihat perlawanan Malaysia menentang Thailand baru-baru ini dan kami tahu apa yang perlu diperbaiki.

"Tidak disangkal bahawa Malaysia berada pada tahap terbaik perlawanan, tetapi kami akan buat yang terbaik untuk meraih keputusan positif," katanya.