JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu pimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri berlapang dada dan menerima dengan baik kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.
Beliau berkata, perkara itu juga seharusnya tidak perlu menjadi modal untuk menyalahkan sesiapa kerana semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama terbaik.
"Keputusan (PRK) sangat mendukacitakan bagi kami PH namun kami terima dengan berlapang dada kerana itu keputusan rakyat di Tanjung Piai.
"Saya tidak rasa (menyalahkan saya) kerana hasil ini (keputusan) adalah kerja bersama dari Pusat hingga ke negeri, jadi saya rasa ini bukan masa untuk menuding jari mencari salah siapa.
Dr Sahruddin berkata, post mortem berhubung keputusan PRK berkenaan juga akan dilakukan di peringkat negeri dalam masa terdekat.
"Yang penting kita perlu perbaiki segala kelemahan yang ada supaya kerajaan ini dapat kekal. Insya-ALLAH post mortem di peringkat negeri kita akan buat, kita juga akan lakukannya di peringkat Pusat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian pejabat dan sembang santai Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (Perusim) di Taman Bukit Alif di sini hari ini.
Terdahulu, PRK Tanjung Piai menyaksikan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berjaya merampas semula kerusi berkenaan selepas mendahului lima calon lain dengan majoriti 15,086 undi.
Dr Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya manakala pesaing terdekat iaitu calon PH, Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi.