HARIMAU Malaya tetap berwaspada ketika turun menentang Indonesia pada aksi kelima Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Walaupun skuad Garuda itu menghadapi beberapa masalah sejak kebelakangan ini, namun pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe tidak mahu para pemainnya memandang rendah keupayaan pasukan jiran itu.
Malah, Cheng Hoe juga percaya Indonesia akan hadir dengan semangat berbeza apatah lagi akan mendapat sentuhan lebih segar daripada jurulatih sementara, Yeyen Tumena.
"Saya fikir masalah yang sedang dihadapi mereka sudah selesai kerana Indonesia melakukan persediaan rapi dengan hadir ke sini (Malaysia) untuk berlatih seminggu awal.
"Mereka siapkan pasukan dengan serius terutama membawa separuh pemain baharu dan jurulatih sementara mereka untuk dapatkan keputusan positif di sini.
"Kita tidak boleh ambil mudah dengan main di tempat sendiri. Jika tidak turun dengan semangat dan motivasi bagus,akhirnya kita juga mungkin akan bolos dan dapat keputusan negatif," katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada aksi pertama Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Harimau Malaya berjaya menjinakkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September lalu.
Mengulas lanjut, kata Cheng Hoe, beliau menuntut para pemainnya terus konsisten untuk mendapatkan keputusan positif selepas berjaya melakar kejutan menundukkan jaguh Asia Tenggara, Thailand baru-baru ini.
"Sudah tentu perlawanan esok (hari ini) yang terakhir untuk 2019 dan kami mahu dapatkan kemenangan. Situasi bermain di laman sendiri selain tiket yang telah habis dijual memberikan motivasi buat kami.
"Tetapi ia juga akan menghadirkan tekanan kerana jangkaan penyokong yang tinggi.Justeru, saya sentiasa memberikan galakan kepada pemain untuk beri 100 peratus dalam latihan dan perlawanan.
"Saya juga percaya pemain sudah faham dengan situasi sebegini dan tahu untuk mengatasinya," katanya.
Mengulas mengenai kecederaan pangkal paha pertahanan kanannya, Muhammad Syahmi Safari, pengendali berusia 51 tahun itu optimis pemain Selangor itu akan sempat pulih.
"Kami masih ada satu hari lagi untuk mempersiapkan pasukan. Jika Syahmi tidak dapat bermain, saya sudah ada pengganti untuk mengisi tempatnya," katanya.