TONGGAK pertahanan negara, Shahrul Saad berharap momentum kemenangan Harimau Malaya dapat diteruskan dalam aksi kelima Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Menurutnya, motivasi dan semangat pemain ketika ini berada pada tahap terbaik terutama selepas menang dalam kasi persahabatan menentang Tajikistan dan melakar kejutan menundukkan Thailand dalam aksi keempat pusingan kelayakan tersebut baru-baru ini.
"Untuk kempen kelayakan kali ini banyak perkara positif kami sudah lalui dengan beberapa kemenangan yang diperoleh.
"Saya harap momentum kemenangan tersebut dapat diteruskan dalam aksi menentang Indonesia esok," katanya.
Dalam masa sama, Shahrul bertekad untuk memastikan gawang negara tidak bolos dalam perlawanan tersebut.
"Saya mengharapkan rakan-rakan saya di barisan pertahanan dapat mencatatkan keputusan tanpa bolos sebab dalam beberapa perlawanan sebelum ini kita sering dibolosi," katanya.
Mengulas mengenai provokasi yang mungkin timbul dalam perlawanan itu, Shahrul menuntut kematangan setiap penyokong yang hadir untuk tidak mencetuskan kekecohan.
"Sewaktu di Indonesia, macam-macam perkara yang berlaku. Untuk pemain ia sebagai satu pengalaman. Beraksi di Bukit Jalil, saya harap tiada provokasi yang dicetuskan.
"Saya harap penyokong datang menikmati perlawanan dan beri sokongan kepada pasukan masing-masing," katanya.