TAHNIAH buat Perak Bison selepas menjuarai Liga Premier pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) pada 10 November lalu.
Kejayaan Perak Bison sekaligus memadamkan rekod Penang Black Panthers selaku juara tiga musim berturut-turut apabila muncul selaku juara baru buat musim keenam ini.
Jelas bahawa persaingan liga musim ini lebih sengit dan sukar dijangka apabila setiap pasukan tampil dengan prestasi terbaik setiap minggu.
Debaran ini berterusan sehingga minggu terakhir apabila penentuan kejuaraan hanya diketahui sehingga tamat perlawanan terakhir setiap pasukan.
Di sebalik kejayaan penganjuran edisi keenam musim 2019, sedar mahupun tidak ia adalah musim pertama pemain import dibenarkan beraksi.
Namun persoalannya, adakah kehadiran pemain import memberikan impak positif atau sebaliknya?
Pada pandangan saya, kita perlu melihat dari sudut positif terutamanya impak pemain import sememangnya menjadi tarikan buat penonton hadir untuk menyaksikan kehebatan mereka.
Ia terbukti apabila kebanyakan hadir akan memberikan sorakan gemuruh buat beberapa pemain import seperti apit kanan Terengganu Turtles, Phutawan Sopa; tekong Perak Bison, Natthawut Naewprom dan tekong Kelantan Warriors, Apirak Promanee.
Pemain-pemain ini seolah-olah mempunyai peminat setia yang sentiasa nantikan aksi mereka di dalam gelanggang di samping memberikan sokongan buat pasukan kesayangan mereka.
Manakala impak terhadap pemain tempatan pula, saya melihat peningkatan yang ditampilkan terutamanya aspek kawalan bola apabila menerima servis dari tekong import dan peningkatan keyakinan ketika berdepan pemain-pemain import.
Sekiranya pengalaman ini berterusan pastinya kualiti pemain tempatan akan meningkat dan secara tidak langsung memberikan kesan positif perkembangan sukan sepak takraw negara.
Apa yang diharapkan juga pemain-pemain tempatan perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin terutamanya ketika saingan Piala Juara-Juara STL 2019 pada 22 hingga 28 Disember depan.
Pentas yang bakal menyaksikan lima pasukan teratas Liga Premier iaitu Perak Bison, ATM Guardians, Johor Tigris, Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors akan kembali beraksi bersama lima pasukan jemputan antarabangsa.