Kerajaan Perak kempen berhenti merokok

Iklan
Ahmad Faizal menampal papan tanda dilarang merokok di sebuah kedai di Kanthan Baru sempena Program Jom Sihat Bersama Ahli Parlimen Tambun.

CHEMOR - Kerajaan Perak akan menggerakkan kempen berhenti merokok di negeri ini secara besar-besaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh sepanjang tahun ini bagi menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kempen itu sebagai rentetan usaha kerajaan menetapkan larangan merokok di semua kawasan restoran dan tempat makan.

"Saya sendiri seorang perokok tegar selama puluhan tahun. Jika saya boleh lakukan, semua orang juga boleh lakukan dengan berhenti merokok.

Iklan

"Dengan berhenti merokok saya rasa lebih sihat, cergas dan berfikir dengan lebih baik. Saya nak ajak semua rakyat Perak kita sama-sama berhenti merokok," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Jom Sihat bersama Ahli Parlimen Tambun di SJKC Chong Hwa Kanthan Baru, di sini.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak berkata, pihaknya akan meletakkan logo kempen berhenti merokok tersebut pada jersi pasukan Perak yang akan menyertai kempen di peringkat Asia menerusi Kejohanan Piala Juara-Juara Asia (AFC).

"Jadi kempen kita untuk berhenti merokok ini dapat dilakukan kepada manusia sejagat bukan di Perak sahaja kerana ia perkara baik.

"Apabila main di peringkat Asia nanti semua akan nampak Perak membawa mesej berhenti merokok," katanya.

Beliau berkata, pelancaran rasmi kempen tersebut dijangka akan dibuat bersama-sama pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain Perak serta PKNP FC pada bulan ini.

Pada ketika itu, ramai anak muda yang akan hadir dan menjadi kumpulan sasar utama untuk kempen berhenti merokok tersebut.