BALI - Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia akan memasang peranti baharu untuk mengesan gempa bumi serta tsunami di seluruh Bali bulan depan.
Langkah itu diambil kerana agensi terbabit ingin pulau peranginan tersebut mempunyai sistem yang sama dengan ibu negara Jakarta.
"Kami merancang untuk menjadikan Bali sebagai sandaran. Sekiranya Jakarta tidak berkesan dalam mengesan bencana, Bali yang mempunyai infrastruktur sama diharap boleh menjadi alternatif pusat maklumat untuk bencana di Indonesia," jelas Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati seperti dipetik agensi berita Antara.
Menurut Karnawati, peranti baharu itu akan dipasang di Bangli, Karangasem, Buleleng dan pulau Nusa Penida.
Katanya, peranti tersebut akan dapat mengeluarkan amaran awal dan mengesan dengan lebih cepat.
"Buat masa ini kebanyakan pengesan yang dipasang adalah untuk gempa berkekuatan tinggi dan kami akan memperkasakannya dengan pengesan untuk gempa berkekuatan rendah.
"Oleh itu gegaran kecil juga akan dapat dikesan," menurutnya.
Khamis lalu, Bali digegarkan dengan gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter dan gegaran dapat dirasai di bahagian lain pulau termasuk di Denpasar.
Agensi berita Tribun-Bali melaporkan, lebih 60 buah rumah mengalami kerosakan dan Agensi Pengurusan Bencana Serantau (BPBD) di Buleleng mengesahkan jumlah kerugian mencecah AS$114,021 (RM473,717). - Agensi