SEJAK beberapa minggu lalu, tiba-tiba isu sekolah tahfiz muncul bertimpa-timpa di media.
Merak Jalanan pun tidak senang hati dengan siri kejadian itu yang bukan lagi melibatkan isu disiplin tetapi sudah sampai ke tahap jenayah.
Dua minggu lalu, Merak Jalanan dihubungi sendiri seorang wanita dari Keramat, Kuala Lumpur.
Beliau menceritakan keadaan anaknya yang belajar di sebuah sekolah tahfiz dan bagaimana si anak dijirus air panas oleh rakan sekolahnya.
Isu itu memang diketahui ramai selepas disiarkan media dan dilaporkan kepada polis.
Rupa-rupanya, ibu muda itu mendakwa si anak sebenarnya sudah lama dibuli bahkan, pembuli pernah menyumbat tahi kucing ke dalam mulut anaknya.
Tidak sampai beberapa hari kemudian, kita dikejutkan pula dengan kes yang lebih tragis di sebuah sekolah tahfiz di Temerloh, Pahang.
Pelajar yang baru berusia tujuh tahun mati selepas dipukul tiga rakannya di sekolah itu.
Seperti biasa hanya selepas kematian mangsa barulah semuanya terbongkar! Sekolah tahfiz itu didakwa tidak berdaftar dan hanya diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Merak Jalanan memang urut dada baca kisah itu.
Bagaimana sebuah sekolah tahfiz boleh dibuka oleh sepasang suami isteri. Suami jadi cikgu, isteri jadi warden.
Kita bukan lagi hidup pada zaman tahun 1950-an. Hanya sebulan lebih lagi kita akan masuk ke tahun 2020.
Isu mengenai sekolah tahfiz memang agak sensitif untuk diperkatakan. Ini kerana isu ini akan menyentuh mengenai agama dan institusi yang berkaitan dengannya.
Adalah tidak adil kita berdiam dan sekadar berkokok ketika cuma ada isu. Bahkan, selepas isu itu sejuk, kita 'sembunyikan' isu itu ibarat menyapu sampah ke bawah karpet.
Kerajaan perlu menyusun semula semua sekolah tahfiz di Malaysia. Institusi ini perlu disusun semula, diwajibkan berdaftar dan dipantau sepenuhnya dari masa ke masa.
Ya, dan ibu bapa juga tidak boleh mengambil jalan mudah. Pastikan sekolah yang dihantar itu ada wibawa dan lengkap infrastruktur serta kemudahannya.