SHAH ALAM - Penduduk Taman Sri Muda di sini bimbang dengan kejadian banjir kilat kerana hujan berterusan selama beberapa jam sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Dakwa penduduk, mereka sudah tidak berdepan banjir kilat hampir 20 tahun selepas banjir besar yang berlaku pada 1996 namun sejak akhir-akhir ini hujan dalam tempoh singkat menyebabkan kawasan itu dilanda banjir kilat.
Penduduk, Mohd Sufian Ismail, 39, berkata, masalah itu seharusnya diatasi segera oleh pihak berwajib.
"Bayangkan hujan sejam saja sudah membuatkan kami trauma. Saya nak tanya adakah ada pelan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah ini selain pasang pam air sementara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)?.
"Setiap kali rumah penduduk dinaiki air berapa banyak kerugian yang penduduk terpaksa tanggung kerana peralatan elektrik dan perabot rosak," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, hanya terdapat satu sahaja mesin perangkap sampah yang berfungsi.
"Ada dua perangkap sampah, satu sudah rosak manakala satu sahaja yang masih berfungsi.
"Selain itu ada satu projek perumahan di tepi kunci air, lokasi tapak berkenaan sebelum ini adalah paya untuk limpahan air longkang yang berlebihan jika di buka kunci air," katanya.
Katanya, kawasan itu sekarang sudah ditambak tinggi menyebabkan limpahan air hujan masuk semula ke dalam longkang kawasan taman perumahan berkenaan.
"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) dan Jabatan Alam Sekitar(JAS) perlu turun padang dan kaji lokasi projek ini ketika hujan, lihatlah sendiri aliran air itu macam mana.
"Ahli parlimen di kawasan ini juga perlu datang dan jenguklah sesekali kawasan ini supaya dapat mengetahui sendiri apa sebenarnya dialami penduduk," katanya.
Pada 18 Oktober lalu, hujan lebat dan longgokan sampah yang menyekat laluan aliran air dikatakan menjadi punca Taman Seri Muda Seksyen 25 di sini banjir.
ARTIKEL BERKAITAN: Hujan lebat, sampah punca banjir di Taman Seri Muda
Difahamkan kejadian itu turut menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Muda 2 terpaksa ditutup kerana air masih belum surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau turut meninjau keadaan di lokasi banjir kira-kira jam 10.30 malam itu.
Menurutnya, hampir sebahagian besar perumahan dan kawasan komersial di Taman Seri Muda dinaiki air termasuk Taman Desa Kemuning di Seksyen 34.