PORT DICKSON - Bagi anda yang gemar memakan ikan bakar dan steamboat, bolehlah mencuba makan di restoran Citarasa Kampung yang terletak di Taman Bukit Orkid dekat sini.
Pelbagai menu dan makanan laut boleh didapati di kedai makan ini dengan harga yang mampu milik.
Pengalaman penulis makan di sini sangat menghiburkan apabila setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad akan dihiburkan dengan sekumpulan anak muda yang menyanyi ala busking menceriakan lagi suasana di kedai makan itu.
Pemilik restoran, Syuhairie Shaharuddin, 32, berkata, kedai makannya baharu sahaja beroperasi pada 28 Ogos lalu, dengan menyediakan makanan tengah hari ala kampung dan ikan bakar serta steamboat pada sebelah malam.
Menurutnya, biarpun baharu lima bulan beroperasi, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan, malah mempunyai pelanggan tetap yang datang dari Shah Alam semata-mata membeli lauk di kedainya setiap minggu.
"Idea untuk membuka kedai makan di sini datang apabila saya memikirkan tiada tempat makan seperti ini di Port Dickson (PD).
"Kalau kita datang PD susah nak cari kedai makan yang ada menu istimewa seperti yang kami sediakan, kedai kami menyediakan lebih 80 jenis masakan kampung untuk makan tengah hari, dan kedai ini adalah satu-satunya kedai di PD yang mempunyai paling banyak menu.
"Kalau makan tengah hari biasa di tempat lain ada, tetapi kalau nak menu yang istimewa seperti ayam kampung, burung puyuh, masakan asli orang nogori, semuanya ada di kedai kami.
"Harga tidak perlu bimbang kerana semuanya adalah berpatutan, kami sentiasa mementingkan kualiti makanan dan juga harga yang mampu milik agar setiap orang dapat menikmatinya,” katanya.
Syuhairie berkata, bagi memeriahkan lagi suasana malam di Port Dickson, kedainya menyediakan menu ikan bakar dan steamboat & BBQ, bagi mereka yang gemar makan laut.
Katanya, pelbagai jenis makanan laut boleh didapati di kedainya, sama ada yang sudah siap dibersihkan atau yang masih segar dalam kolam.
"Kedai kami berkonsepkan dua tema, sama ada pilih ikan yang sudah siap sedia ada, atau pun ikan dan udang segar yang ditangkap dari dalam kolam akuarium yang disediakan di kedai itu.
"Antara ikan segar yang boleh ditangkap dan dibakar seperti tilapia merah, udang, lobster, ketam dan macam-macam lagi.
"Konsep sebegini biasanya boleh didapati di restoran makanan laut, tetapi di PD kami adalah satu-satunya kedai Bumiputera yang menjalankan konsep ini dan semestinya kedai kami adalah halal,” katanya.
Syuhairie berkata, hasratnya mahu menjadikan restoran Citarasa Kampung ini sebagai antara ikon di PD, yang mana jika orang datang ke PD, tempat wajib untuk dikunjungi dan menjamu selera adalah di kedai makannya.
Menurutnya, cubaan untuk menjadikan kedai makannya sebagai pilihan utama pengunjung hampir berjaya, apabila menerima ramai pengunjung luar daripada Singapura, Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor.
Menurut Syuhairie, kebanyakan bahan mentah seperti ketam, kupang, ikan dan sotong diambil terus daripada nelayan sekitar PD.
Katanya, selain mengelakkan diri daripada orang tengah, dia mahu memastikan setiap bahan mentah dan makanan laut itu sentiasa segar.
"Cara ini juga sedikit sebanyak dapat membantu nelayan menyalurkan hasil tangkapan mereka terus kepada peniaga tanpa melalui orang tengah,” katanya.
Jadi, apa tunggu lagi, marilah mencuba masakan dan pelbagai menu menarik di Restoran Citarasa Kampung ini, sudah pasti anda tidak akan menyesal kerana semuanya lazat dan harganya juga berbaloi.
Restoran Citarasa Kampung di Port Dickson, dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam kecuali Khamis, bagi membolehkan mereka berehat untuk mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat.