Pertukaran jawatan babitkan semua peringkat

Iklan
Datuk Seri Dr Ismail Bakar. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Rombakan dan pertukaran jawatan tidak hanya melibatkan jawatan ketua setiausaha sebaliknya ia membabitkan di semua peringkat penjawatan perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata, rombakan pertukaran jawatan tersebut adalah amalan biasa dilakukan dalam sektor awam yang bertujuan untuk memantapkan operasi dan kecekapan perkhidmatan awam.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu mereka terlalu lama dan selesa di sesuatu jawatan dan kita galakkan pengalaman yang mereka ada dibawa ke kementerian lain untuk menambah kecekapan," katanya kepada media selepas menghadiri Program Car Free Day Putrajaya, di sini, hari ini.

Menolak dakwaan bahawa pertukaran dan rombakan tersebut dipengaruhi elemen politik, ia sebaliknya dibuat secara profesional.

Iklan

"Rombakan ini bagus kerana ia bersifat inklusif dan kerana kepakaran di kementerian lama dibawa ke kementerian baharu," katanya.

Beliau mengulas mengenai rombakan besar membabitkan pertukaran ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah kerajaan yang berkuat kuasa esok.

Iklan

Sebanyak 12 ketua setiausaha kementerian terlibat dalam pertukaran berkenaan iaitu tujuh membabitkan pertukaran kementerian manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat sebagai KSU baharu.

Antaranya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya dan tempat beliau digantikan oleh Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas yang sebelum ini di Kementerian Pendidikan.

Ketika ditanya berhubung ura-ura sama ada Alwi terus kekal di Kementerian Dalam Negeri, Ismail menjelaskan, senarai rombakan itu tetap diteruskan dan tidak akan berlaku perubahan.

Ismail berkata, pertukaran jawatan ketua setiausaha di beberapa kementerian akan diteruskan memandangkan terdapat ketua setiausaha yang akan bersara wajib dalam masa enam bulan akan datang. - Bernama