POKOK SENA - Seorang penoreh getah di Keda Kampung Bukit, Jalan Naka di sini tidak menyangka pokok pisang emas yang ditanamnya mengeluarkan buah pada bahagian tengah batang pohon berkenaan.
Ismail Lebai Teng,71, berkata, dia mula menyedari kejadian aneh itu kira-kira tiga bulan lalu apabila melihat batang pokok itu membuncit ketika membersihkan kawasan sekitar pokok terbabit.
Menurutnya, selepas beberapa hari, dia kembali melihat pokok itu dan mendapati batangnya sudah terbelah dan mengeluarkan buah pisang.
"Jika pokok pisang yang normal ia akan turut mengeluarkan jantungnya, tetapi yang ini tidak ada jantung.
"Bagi saya ia kejadian yang pelik dan jarang ditemui malah sepanjang hidup saya inilah kali pertama melihat pisang berbuah di tengah batang.
"Bagaimanapun sebagai orang Islam, tiada yang mustahil bagi ALLAH SWT dan sebab itulah kita dapat melihat pokok pisang ini mengeluarkan buah luar dari kebiasaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Ismail yang juga seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata, dia bercadang untuk berkongsi rezeki pisang berkenaan bersama saudara mara dan jiran terdekat.
"Insya-ALLAH dalam seminggu dua lagi 25 biji pisang berkenaan akan masak dan saya bercadang untuk mengadakan kenduri pisang bersama pulut.
"Selain berkongsi rezeki, kenduri itu juga sebagai tanda kesyukuran dan memberi peluang kepada orang ramai menikmati pisang ini walaupun hanya sebiji seorang," katanya.
Tambahnya, sejak kejadian aneh itu tersebar ramai penduduk sekitar kawasan berkenaan datang melihat sendiri pokok pisang berkenaan dan merakamkan gambar sebagai kenangan.