ARAU - Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis, Khalid Ahmad sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, penyerahan kad keahlian seumur hidup Bersatu kepada Khalid dilakukan dalam satu majlis bersama calon-calon Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan DUN Simpang Empat.
"Perbincangan antara saya bersama YB Khalid sudah dilakukan sejak tahun lepas lagi, namun ketika itu beliau masih mempunyai komitmen tertentu yang mengekang beliau untuk membuat sebarang keputusan.
"Penyertaan beliau ini menunjukkan keyakinan tokoh-tokoh politik di Perlis terhadap Bersatu," katanya ketika ditemui hari ini.
Khalid merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Azlan Man dari tahun 2013 sehingga 2018 sebelum beliau berpencen dan jawatan itu diisi oleh Ketua Pemuda UMNO Perlis, Harmizan Hassan.
Selain Khalid, sebelum ini dua tokoh politik berpengalaman dari UMNO di Perlis yang juga bekas menteri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid turut menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.
Tambah Wan Saiful dengan kehadiran tokoh-tokoh berpengalaman menyertai Bersatu, ia dilihat dapat membantu menguatkan pentadbiran parti di negeri pembangkang.
"Kita alu-alukan pemimpin masyarakat di Perlis untuk bersama dengan Bersatu bagi berkhidmat untuk rakyat di Perlis.
"Kita yakin dengan pengalaman mereka ini kita dapat membangunkan Perlis memandangkan negeri ini adalah negeri pembangkang," katanya.