BALIK PULAU - Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan lebam di bahagian muka disyaki akibat didera di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sini semalam.
Kejadian itu disedari ibu bayi berkenaan selepas dia mengambil anaknya itu di taska pada jam 5.30 petang.
Curiga dengan keadaan anaknya itu, wanita terbabit menghubungi suaminya bagi memaklumkan perkara itu sebelum membawa bayi berkenaan ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan.
Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, bayi berkenaan terpaksa ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesan punca berlakunya lebam di pipi mangsa.
Menurutnya, bapa bayi terbabit yang berusia 42 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya ketika di bawah jagaan taska berkenaan.
"Dalam keterangannya, bapa bayi berkenaan memberitahu dia menghantar anaknya itu ke taska terbabit sejak awal November lalu.
"Setakat ini, kita dapati yang premis terbabit tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut akan dilakukan di taska itu hari ini," katanya ketika dihubungi.
Jafri berkata, polis akan mengambil keterangan daripada guru serta kakitangan taska terbabit untuk membantu siasatan selain mengenal pasti punca kesan lebam di muka bayi berkenaan.
Katanya, setakat ini laporan awal dari hospital mendapati memang terdapat kesan lebam di bahagian kanan muka bayi berkenaan namun tiada pendarahan berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.