BUTTERWORTH - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan memberikan keterangan palsu di mahkamah.
Tertuduh, Anuar S Mohamad Ibrahim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut kertas pertuduhan, Anuar didakwa memberi keterangan tidak selaras mengenai satu kes rasuah dengan penyataan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Balik Pulau pada 16 Jun 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi mengemukakan fakta dan hujahan kes.
Zander juga memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10, 000 ke atas tertuduh.
Peguam tertuduh, Ghazali Ismail memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Norhayati kemudian menetapkan ikat jamin RM5, 000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 3 Januari 2020 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta kes dan hukuman.