SAINTES - Seorang pakar bedah Perancis yang telah bersara didakwa merogol dan menyerang secara seksual terhadap empat kanak-kanak serta dilaporkan mencabul hampir 200 kanak-kanak lain.
Ia disifatkan sebagai kes pedofilia terbesar di negara itu.
Joel Le Scouarnec, 68, akan menjalani pembicaraan pada Mac tahun hadapan kerana merogol anak perempuan jirannya, melakukan penderaan seksual dan perbuatan tidak senonoh.
Tuduhan itu meliputi kesalahan sepanjang tiga dekad ketika berkhidmat di hospital tengah dan barat Perancis.
Tuduhan pertama bertarikh awal 2017, apabila ibu bapa seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang tinggal di kawasan kejiranan di bandar Jonzac menuduh Le Scouarnec merogol anak mereka.
Le Scouarnec juga dituduh merogol seorang saudaranya yang masih muda, menyerang seorang lagi dan mendera pesakit.
Selepas tuduhan itu dikenakan, penyiasat membuka siasatan kedua selepas penemuan sebuah buku rahsia milik Le Scouarnec yang menerangkan adegan seks membabitkan ramai kanak-kanak.
Nama kanak-kanak itu ditulis dalam diari tersebut, membolehkan polis mengesan mereka untuk mendapatkan keterangan.
"250 kanak-kanak mangsa pedofilia ini masih berada dalam batas undang-undang semasa siasatan kedua.
"Polis telah menyoal siasat 209 daripada jumlah itu, sebahagiannya masih ingat dengan jelas kejadian itu," kata pendakwa raya bandar La Rochelle, Laurent Zuchowicz pada Isnin.
Selain dari diari tersebut, siasatan terbaru juga mendapati lebih banyak imej pornografi kanak-kanak dan mainan seks di rumah Le Scouarnec.
Pesara itu berdepan sehingga 20 tahun penjara jika disabitkan atas tuduhan pertama.
Dia akan dibicarakan di bandar Saintes dari 13 hingga 17 Mac tahun hadapan. - AFP