PM tidak perlu tunduk dengan desakan rombak Kabinet dan buat PRU15 dalam masa terdekat
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak perlu tunduk dengan tekanan untuk melakukan rombakan Kabinet, mahu pun melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Ismail Sabri dan anggota Kabinet perlu memberi tumpuan 100 peratus kepada usaha membantu ahli Keluarga Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan banjir melanda seluruh negara sekarang.
Penganalisis politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, desakan sesetengah pihak terutama pemimpin tertinggi UMNO supaya Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet dan PRU15 dalam masa terdekat adalah tidak kena pada tempat dan masanya.
Zainal berkata, Perdana Menteri tidak perlu melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat kerana beliau sudah memperbaiki kelemahan kerajaan dengan mengarahkan semua menteri sedang bercuti pulang secepat mungkin ke tanah air bagi membantu ahli rakyat yang terjejas akibat banjir di seluruh negara sekarang ini.
Tambahan pula, Zainal berkata, kelemahan dari segi penyelarasan bantuan kepada mangsa terjejas teruk akibat banjir oleh agensi berkaitan terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kalau Perdana Menteri asyik nak menyusun semula Kabinet ia tidak akan menyelesaikan masalah negara sekarang. Jika kita perkemas dan tambah baik kerjasama antara agensi kerajaan dan anggota Kabinet sekarang adalah lebih baik lagi.
"Jadi saya rasa tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet, malah jika penyusunan semula mungkin banyak masalah baharu timbul sebab anggota Jemaah Menteri baharu perlu belajar semula dari A hingga Z, mengkaji pelbagai masalah dihadapi dan sebagainya.
"Tindakan itu hanya membuang masa dan mencetuskan kacau-bilau dalam kerajaan. Oleh itu, desakan supaya Perdana Menteri menyusun semula Kabinet Keluarga Malaysia buat sekarang adalah tidak kena pada masanya," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Terdahulu, selepas sekian lama berdiam diri, akhirnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, tampil bersuara memberikan penjelasan bahawa beliau tidak campur tangan dalam rombak Kabinet seperti digembar gemburkan oleh sesetengah pihak.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Perdana Menteri berhak untuk membuat sebarang rombakan barisan Kabinet mengikut perancangan dan pandangannya tersendiri tanpa campur tangan orang lain.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri ke-8 mengakui beliau ada membaca berita mengenai spekulasi bakal berlaku rombakan Kabinet, namun enggan mengulas lanjut termasuk ketika ditanya kewajaran melakukan perkara berkenaan.
"Saya bukan Perdana Menteri, elok tanya Perdana Menteri (dan) kalau ada pun itu perancangan Perdana Menteri.
"Saya tak boleh nak komen, itu hak Perdana Menteri (sama ada) dia nak rombak atau tak rombak. Tapi, biasalah dalam politik, orang buat ramalan, jadi, terserah kepada Allah SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan," katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa di Lenga, Pagoh, Johor, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zainal berkata cadangan rombakan Kabinet juga akan mewujudkan ketegangan dan mengganggu kestabilan politik dan kerajaan sekarang kerana besar kemungkinan ada parti gabungan tidak berpuas hati sekiranya Ahli Parlimen mereka digugurkan.
KEKAL KABINET SEDIA ADA
Justeru, Zainal berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan Kabinet sedia ada untuk satu tempoh tertentu sehingga keadaan negara kembali pulih dari segi kesihatan dan ekonomi bagi membolehkan PRU15 diadakan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
"Saya juga berpandangan tiada guna Perdana Menteri tunduk kepada desakan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat untuk memberi laluan kepada PRU15 kerana Malaysia masih menghadapi ekonomi, wabak penyakit dan pengurusan bencana alam seperti banjir.
"Sebenarnya rakyat sudah menyampah dengan parti dan ahli politik yang hanya mementingkan diri sendiri dan perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri yang seperti tiada kesudahan sejak PRU14.
"Di saat rakyat sedang menghadapi pelbagai kesusahan akibat penularan wabak Covid-16 dan penderitaan kerana bencana banjir, mereka pula sibuk mahu Perdana Menteri mengadakan rombakan Kabinet dan PRU15," katanya.
Bagaimanapun Zainal bersetuju jika Perdana Menteri mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 selepas keadaan ekonomi negara semakin pulih dan kes Covid-19 semakin berkurangan menjelang akhir tahun ini.
Beliau menambah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan proses pendaftaran pemilih secara automatik dan undi 18 tahun supaya ia boleh dilaksanakan pada PRU15 nanti.
Terdahulu, media melaporkan selepas hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dikatakan akan mengumumkan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri, dalam masa terdekat.
Tiga nama yang dikaitkan dengan pelantikan TPM ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Juga tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Khabar angin mengenai rombakan Kabinet mula bertiup kencang selepas majoriti rakyat dan pemimpin politik termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa tidak puas hati dengan respon lambat anggota jemaah menteri kepada mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini.
Keadaan itu menjadi semakin panas susulan dakwaan bahawa kelewatan bantuan dan misi menyelamat mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor adalah berpunca daripada kurang koordinasi antara pihak berkuasa negeri, NADMA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi lain.
Perkara itu, bertambah hangat selepas kerajaan mengumumkan tidak bercadang untuk meluluskan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kali kedua kerana bantuan mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, menegaskan semua 'rumours' itu kekal sebagai khabar angin selagi Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan kenyataan rasmi.
Ismail Sabri mengesahkan tiada perbincangan berhubung rombakan menteri atau timbalan menteri dalam mesyuarat Kabinet esok, sebaliknya ia hanya akan memberikan fokus kepada dua perkara utama iaitu masalah banjir dan pandemik Covid-19.
Tegas Naib Presiden UMNO berkenaan, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.