PRN Johor hanya satu pembaziran

Iklan
BADRUL HISHAM

Jangan bazirkan RM150 juta wang rakyat semata-mata mahu memenuhi kerakusan nafsu dan ego penganggur politik

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan tindakan Menteri Besar Johor yang mahu membazirkan RM150 juta wang rakyat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya semata-mata bagi melayan nafsu, keegoan dan keangkuhan golongan 'penganggur politik' dalam kalangan pemimpin UMNO.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, PRN Johor sebenarnya tidak perlu diadakan kerana semua wakil rakyat PN dan Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan komitmen untuk terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad, walaupun majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya tinggal satu kerusi.

Bagaimanapun, Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard berkata, nampak gayanya PRN Johor tidak dapat dielakkan berikutan keghairahan dan ego penganggur politik dalam kalangan pemimpin UMNO yang sudah hilang pertimbangan dan mementingkan diri sendiri.

"Mereka (penganggur politik dan pemimpin UMNO berkenaan) sebenarnya tidak peduli pun soal kebajikan dan kesusahan dialami rakyat Johor akibat penularan pendemik Covid-19 dan banjir.

"Apa yang paling penting golongan penganggur politik dan pemimpim UMNO berkenaan adalah mahu memuaskan nafsu dan ego mereka untuk kembali menguasai pemerintahan Johor semula sahaja," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Terdahulu, media melaporkan Pakatan Harapan (PH) Johor dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bersepakat menawarkan komitmen kestabilan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Hasni.

Dalam kenyataan dikeluarkan secara bersama melibatkan Pengerusi Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan pelaksanaan PRN di negeri ini adalah satu tindakan yang tidak munasabah.

"Hasil perbincangan bersama, blok pembangkang di Johor, kami menegaskan pendirian bahawa perlaksanaan PRN di negeri ini adalah suatu tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

"Blok pembangkang telah bersepakat untuk bersama-sama menawarkan komitmen kestabilan bagi memastikan kerajaan negeri dapat terus memberi sepenuh tumpuan terhadap kebajikan rakyat serta usaha-usaha memulihkan ekonomi negeri pada waktu sukar ini," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Untuk rekod DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Berikutan itu kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ditanya mengenai kewajaran UMNO menamakan Hasni sebagai calon Menteri Besar atau 'Poster Boy' UMNO dalam PRN nanti, Badrul Hisham berkata;"Dengan mencadangkan nama Hasni sebagai Menteri Besar nampak gayanya tiada perubahan dan sama sahaja. Jadi buat apa UMNO nak buat PRN baik gunakan dana RM150 juta untuk membantu rakyat Johor masih terkesan akibat Covid-19 dan banjir?"

"Isu Poster Boy dalam PN bukan isu besar sebab kita ada ramai yang insya-ALLAH layak diketengahkan. Biarlah pucuk pimpinan Bersatu dan PN tentukan siapa calon Menteri Besar kerana kita mempunyai ramai pemimpin yang layak dan sedia saling memberikan sokongan antara satu sama lain.

"Namun, biarpun ada pihak mengangkat nama Hasni sebagai poster boys dalam UMNO namun mungkin timbul masalah kerana ada orang lain juga berminat untuk menjadi Menteri Besar jika mereka menang PRN nanti," katanya.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.