TAPAH - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh babi hutan di KM1 Jalan Temoh-Chenderiang di sini semalam.
Mohamad Akmal Syafiq Mohamad, 22, berasal dari Simpang Empat di sini yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.45 malam ketika mangsa yang menunggang Yamaha LC135 sendirian dalam perjalanan menuju ke Temoh.
"Apabila mangsa sampai di tempat kejadian, mangsa melanggar seekor babi hutan yang melintas secara tiba-tiba.
"Kemalangan itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas dan mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
"Motosikal terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk dihantar ke Puspakom Gopeng.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.