ALOR SETAR - Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bakal menikmati manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila skim caruman kepada anggota badan sukarelawan itu dilaksanakan tahun depan.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, sebagai permulaan pihaknya menyasarkan seramai 4,200 anggota sepenuh masa diberikan perlindungan awal sebelum diperluaskan kepada sukarelawan lain.
Menurutnya, setakat ini perbincangan awal menunjukkan maklum balas positif dan perlu dilakukan kesesuaian terma bagi membolehkan anggota sukarela mencarum.
"Perbincangan awal bersama Perkeso berjalan lancar, kemungkinan jika semua terma dapat disesuaikan mengikut jadual, skim caruman itu dapat dilaksanakan seawal tahun depan.
"Bagi anggota tetap APM, mereka sudah pun dilindungi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Himpunan Setia bersama anggota APM Kedah hari ini.
Hadir sama, Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub.
Roslan berkata, buat masa ini anggota sukarelawan APM hanya diberikan bantuan mengikut keperluan menerusi Tabung Amanah Pertahanan Awam.
"Untuk peringkat permulaan, kita berikan perlindungan kepada anggota sepenuh masa yang beroperasi di pejabat dan menyertai operasi menyelamat.
"Mereka perlu diberikan perlindungan kerana terdapat anggota cedera ketika menjalankan operasi menyelamat,” katanya.
Beliau berkata, APM juga bercadang menjalin kerjasama dengan empat negara menerusi Strategi Lautan Biru, membabitkan Jordan, Bosnia, Pakistan dan Arab Saudi.
"Perbincangan tidak rasmi sudah dilakukan, saya harap dapat dilaksanakan tahun depan. Program ini melibatkan kerjasama negara anggota dalam misi bantuan kecemasan, pendedahan operasi, pertukaran ilmu serta anggota,” katanya.
Roslan berkata, pengalaman menguruskan badan sukarelawan yang berbeza di setiap negara juga boleh dimanfaat untuk meningkatkan perkhidmatan dalam negara.
"Contohnya Jepun memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak mengenai bahaya gempa bumi dan tsunami, serta apa perlu dilakukan ketika bencana.
"Ini tiada dalam negara kita, namun saya sudah terapkan sebahagian dengan tubuhkan Tunas Pertahanan Awam di sekolah rendah, tiga tahun lalu untuk mendedahkan ilmu bantuan kecemasan,” katanya.
Menurutnya, ia penting agar setiap individu mahir dalam ilmu berkaitan kecemasan, bencana serta bantuan bersesuaian agar tidak panik berdepan tragedi.
Roslan berkata, anggota APM kini mencecah 2.2 juta dengan keahlian aktif dan tidak aktif.
"Kita menerima banyak permohonan, namun perlu disesuaikan dengan bajet untuk melatih individu yang mendaftar. Saya turut gembira semakin ramai lantikan pegawai bersekutu kalangan profesional, namun perlu dikawal elak APM dijadikan tempat untuk mendapatkan pangkat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, setakat ini lebih 80 peratus golongan profesional antaranya doktor, peguam dan kakitangan swasta menyumbang dengan cemerlang perkhidmatan mereka.