KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk membantu rakyat mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai membuktikan terdapat keperluan untuk mengukur sokongan rakyat secara berkala.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kerajaan PH perlu mengukur ‘kebahagiaan’ para pekerja di seluruh negara secara berkala sebagai barometer untuk menentukan tahap sokongan orang awam di bawah pemerintahannya.
Beliau berkata, MTUC mahu kerajaan hari ini melakukan yang terbaik, tetapi menekankan bahawa PH harus memenuhi aspirasi rakyat, yang 15 juta daripadanya, adalah pekerja yang diwakili MTUC.
"Pekerja Malaysia terutamanya kumpulan B40, menganggap kerajaan pasif dalam isu keperluan asas (bread and butter issues) seperti gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Solomon percaya jawapannya terletak pada rakyat, terutama golongan pekerja, kekecewaan dengan beberapa pemimpin kerajaan yang berat pada retorik tetapi menawarkan sumbangan yang kecil dari segi tindakan.
"Jika 15 juta tenaga kerja Malaysia dapat merasai atau tersentuh dengan keikhlasan kerajaan membantu mereka mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik, mereka secara peribadi akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan,” kata Solomon. - Bernama