PILIHAN Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai seolah-olah menjawab reaksi tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH). Sama ada kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) terlebih baik hingga menyebabkan PH yang baru setahun jagung tumbang dengan majoriti lebih 15,000 undi tidaklah begitu diketahui.
Harus diingat, itu bukan kekalahan pertama PH dalam PRK. Dalam banyak cakap-cakap di kedai kopi, kegagalan PH itu adalah kerana kegagalan menunaikan janjinya.
Bagaimanapun, jika dikatakan PH tidak membuat apa-apa, adalah tidak adil juga. Sekurang-kurangnya kita melihat perang melawan rasuah yang dilakukan oleh kerajaan PH memberikan sedikit kegerunan kepada masyarakat, walaupun mungkin banyak yang sedang dibawa ke mahkamah ialah ahli politik kerajaan terdahulu.
Kita juga merasakan bahawa ada sedikit sebanyak kebebasan bersuara dalam media atau forum yang lain. Sekurang-kurangnya kita tidaklah setiap hari dihidangkan dengan berita memuji kerajaan sahaja.
Tapi, apakah perubahan seperti itu sebenarnya diperlukan oleh masyarakat atau ia hanya untuk mereka yang hidupnya agak stabil sahaja, khususnya mereka yang hidup di bandar. Bagi orang kampung, apa perlunya kebebasan media untuk mereka? Mereka juga mungkin tidak terkesan dengan perang melawan rasuah yang dilakukan kerajaan.
Hidup mereka hanya sekadar 'kais pagi makan pagi', tidak berkais mereka mungkin tidak makan apa-apa. Malah mereka bukan sekadar tidak pernah dirasuah oleh sesiapa, tetapi juga mungkin tidak tahu bagaimana untuk merasuah. Jadi, sekalipun ranking rasuah negara naik atau turun, ia mungkin tak memberi makna apa pun.
Yang mereka mahu tahu ialah adakah harga getah atau kelapa sawit akan naik. Mereka juga mahu mendengar adakah anak-anak mereka yang lulus universiti akan mendapat kerja, sedangkan pada masa sama dikejar pula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dahulunya dijanjikan akan dihapuskan. Tidak kisah
Sama ada harga tol naik atau turun, bagi orang kampung mereka mungkin tidak begitu kisah sangat. Mereka jarang menggunakan lebuhraya. Lebuhraya itu hanya jalan untuk mereka yang hidup di bandar atau mereka yang selalu berulang alik dengan jarak yang jauh. Bagi orang kampung, mereka tidak pergi ke mana-mana. Mereka hanya berulang alik ke kebun atau ke laut. Tapi, jika pendapatan mereka tidak naik, maka secara automatik harga barang akan dirasakan mahal.
Jadi, adakah kerajaan PH tidak melakukan apa-apa untuk tempoh setahun lebih ini atau mereka tersalah memilih memberikan sesuatu yang tidak dirasai oleh rakyat?
Teori Abraham Maslow (1908-1970) selalu dipetik di mana-mana. Bagi Maslow, manusia perlu dipuaskan dahulu keperluan asasnya. Ia termasuklah tempat tinggal, makanan, pekerjaan dan sebagainya. Barulah mereka akan mula berusaha mencari kepuasan yang lain. Kepuasan lain itu biasanya lebih kepada idealisme sahaja. Kepuasan kebebasan bersuara atau merasai diri dihargai adalah ilusi yang mungkin tak pernah cuba untuk dicapai oleh orang miskin dan masyarakat kebanyakan.
Orang selalu berkata bahawa orang kampung juga mempunyai kereta dan beberapa buah televisyen di dalam rumahnya. Jadi, itu bukanlah bermakna mereka miskin. Sebenarnya, kereta yang mereka ada itu kini hanya sekadar keperluan asas sahaja. Ia bukanlah kereta mewah seperti yang banyak dimiliki oleh orang kaya di bandar.
Jadi, apabila ada menteri ke hulu ke hilir bercakap tentang pelbagai usaha yang mereka lakukan untuk membantu rakyat, yang paling utama sebenarnya bukanlah apa yang sedang mereka lakukan itu. Yang paling utama ialah apa yang sedang rakyat rasakan.
Samalah seperti apabila kita bercakap bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang selamat. Tetapi kita berasa seperti diekori apabila melakukan pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM), maka ‘rasa’ itulah yang lebih utama. Tidak penting selamat atau tidak. Tapi ‘rasa’ itulah yang kita mahukan. Tidak guna bercakap bahawa kita selamat, tetapi rumah kita berkunci dari luar dan dalam.
Jadi sejauh mana kerajaan PH telah memberikan kita ‘rasa’ itu? Rasa bahawa ekonomi kita sudah pulih dan kita boleh hidup mencari makan dengan mudah.
Kekalahan PH di Tanjung Piai bukanlah bermakna mereka tidak melakukan apa-apa. Kita percaya, mereka sudah dan sedang melakukan apa yang terbaik.
Tapi orang awam seperti kita, kita tidak tahu dan perlu ambil tahu apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Kita hanya mahukan ‘rasa’ itu sahaja.