MERSING - Seorang mandor atau penyelia ladang sawit cedera setelah dirempuh gajah liar kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di dalam kawasan ladang dekat Felda Nitar 2 di sini.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, dalam kejadian berkenaan, mangsa, Mohd Hanafi Mohd Isa, 30, cedera pada bahagian badan dan kini masih berada di Hospital Mersing untuk rawatan lanjut.
"Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian terbabit, seramai empat pegawai Perhilitan Daerah Mersing bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian jam 2 petang, mangsa dari Blok 5B Felda Nitar 2 telah pun dibawa keluar dengan menaiki Hilux dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Mersing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dikatakan pergi ke lokasi kejadian seorang diri selepas mendapat tahu tentang kemasukan gajah ke kawasan berkenaan.
"Kita dapati laluan ke lokasi kejadian adalah bersemak dan sukar untuk melihat kehadiran gajah selain sukar untuk menyelamatkan diri jika haiwan berkenaan menyerang.
"Berdasarkan kesan laluan dan najis yang ditemui, dianggarkan terdapat dua ekor gajah namun mamalia itu tidak kelihatan ketika pegawai berkenaan tiba di situ," katanya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan Perhilitan akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa di samping mengambil tindakan tembak halau di lokasi kejadian bagi menghalau gajah-gajah tersebut jika masih berada di sekitar kawasan berkenaan.
Pada masa sama beliau menasihatkan agar ladang-ladang dapat dibersihkan daripada semak belukar dan orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan bersendirian kerana ia akan menimbulkan risiko yang tinggi dan sangat berbahaya kepada diri sendiri.
"Selain itu sistem pagar elektrik jika ada hendaklah diselenggara selalu bagi memastikan ia berfungsi dengan baik," katanya. - Bernama