SABAN hari boleh dikatakan lebih 100,000 motosikal yang ditunggang rakyat negara ini merentas tambak Johor ke Singapura semata-mata untuk bekerja.
Golongan itu juga dilihat tegar dan langsung tidak terjejas meskipun berhadapan dengan kesesakan luar biasa yang memaksa mereka menghabiskan tempoh satu hingga dua jam sehari berada atas motosikal menunggu giliran untuk menempuh kastam daripada kedua-dua negara.
Apakah yang menjadi motivasi kepada mereka untuk terus berada dalam situasi berkenaan? Sudah tentu pulangan berbelanja dan mempunyai kuasa wang besar berbanding jika mereka terus bekerja di Malaysia.
Dalam konteks lain, keadaan itu sebenarnya membawa kepada pusingan bagi pergerakan ekonomi di bandaraya Johor Bahru sendiri yang mana wang diraih rakyat bekerja di Singapura kembali dihabiskan di negeri ini.
Tolak tepi mengenai kegigihan rakyat negara ini yang bekerja di sana, masyarakat sebenarnya sudah boleh menilai sendiri bagaimana sibuknya keadaan harian yang menyaksikan puluhan ribu rakyat negara republik itu turut berkunjung ke sini.
Hiburan, beli-belah malah makanan antara yang menjadi tarikan utama penduduk negara berkenaan untuk datang ke Johor Bahru sekali gus menjadikan negeri ini salah satu destinasi paling sibuk dalam kalendar pelancongan Malaysia.
Jika kita berbelanja RM60 untuk satu set makanan bersama keluarga, penduduk negara jiran tersebut pula hanya perlu keluarkan 20 Dolar Singapura untuk menikmati hidangan sama.
Ironinya, di sebalik impak positif kepada ekonomi bandar raya ini yang mampu memperoleh habuan lumayan hasil perbelanjaan dengan nilai dolar itu, ia juga membawa kepada kesan buruk yang perlu ditanggung masyarakat tempatan.
Kadar gaji RM3,500 sebulan jika dilihat tidak lagi menjadi angka relevan untuk kekal hidup di bandar raya ini apabila terdapat kawasan yang lebih memberi sasaran kepada golongan daripada negara jiran tersebut.
Kawalan harga kini dilihat tidak lagi diterapkan segelintir peniaga malah terus menerus mewujudkan kawasan perbelanjaan golongan ‘elit’ hanya kerana mereka mempunyai penguasaan wang Dolar Singapura.
Pemerhatian dibuat di Pasar Awam Larkin, kemudahan itu dibangunkan khas bagi rakyat berpendapatan rendah di negara ini berbelanja dengan tawaran harga rendah dan berpatutan.
Bagaimanapun, apabila Sabtu dan Ahad, boleh dikatakan hampir 40 peratus pengunjung pasar awam berkenaan adalah terdiri daripada rakyat dari negara jiran terbabit.
Perkara itu membawa kepada permainan harga dibuat segelintir peniaga tidak bertanggungjawab, hanya dengan harapan mahu memperoleh lebih keuntungan hasil daripada nilai matawang yang lebih tinggi.
Keadaan berterusan seperti itu secara tidak langsung berupaya merosakkan rotasi sumber bekalan makanan negara yang umum diketahui masih belum mencukupi untuk pasaran tempatan.
Belum habis soal sara hidup akibat faktor itu, keadaan dalam bandar raya ini juga dilihat semakin sesak dengan lambakan penempatan mewah mencecah nilai jutaan ringgit mula dibangunkan.
Jika dilihat soal rasionalnya, dengan keadaan ekonomi dan belanja sara hidup yang semakin tinggi, penjualan aset bernilai ratusan ribu itu hanya diibaratkan sebagai ‘mimpi’ kepada rakyat marhaen yang mahu memilikinya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing dapat menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual sekali gus memulihkan ekonomi negara.
Katanya, dengan cara berkenaan kerajaan juga dapat mencairkan keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.
Dalam keadaan yang berlaku kini adakah cara terbabit merupakan jalan terbaik untuk memastikan kerajaan berjaya mengawal kos sara hidup yang terus meningkat sekali gus menenggelamkan kepentingan golongan berpendapatan rendah.
Dengan keutamaan diberikan, selain daripada kunjungan harian seperti yang berlaku sekarang, ia tidak mustahil akan berubah kepada populasi penduduk asing yang semakin meningkat.
Kesimpulannya, perbelanjaan, kos dan juga taraf hidup di bandar raya Johor Bahru ini dijangka akan terus berubah dengan menyaksikan para peniaga semakin rakus meletakkan harga dengan alasan bersesuaian dengan keadaan.