Pemandu mabuk: Kerajaan perlu serius kuat kuasa undang-undang

Iklan
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim
IPOH - Kerajaan perlu lebih serius menguatkuasakan undang-undang pemanduan dalam keadaan mabuk, kata Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Beliau berkata, ini berikutan peningkatan kes kemalangan maut yang berlaku sejak kebelakangan ini disebabkan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, insiden seumpama itu merupakan sebahagian bukti-bukti kecil tetapi nyata betapa benarnya Islam mengharamkan arak.

Beliau berkata, sekiranya keizinan diberikan bagi tujuan minuman secara persendirian oleh orang-orang bukan Islam, maka ia hendaklah dikawal.

Katanya, seperti dilakukan sesetengah negara bukan Islam, minum arak hanya dilakukan dalam premis-premis tertentu dan ada antaranya meletakkan hukuman mati kepada pemandu mabuk.

"Sesungguhnya Islam ketika mengharamkan sesuatu, sudah tentu ia mendatangkan mudarat yang lebih besar.

"Dalam Islam, hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat tertentu.

"Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir. Ini berdasarkan hadis Anas: Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali, Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali," katanya.

Zamri berkata, dari sudut maqasid syariah, arak sangat berpotensi untuk merosakkan beberapa elemen yang menjadi objektif syarak untuk menjaganya.

Katanya, bukan sahaja akal akan rosak bahkan ia juga membazirkan harta, merosakkan agama dan memporak perandakan keharmonian kekeluargaan.

"Oleh sebab kemudaratan yang terhasil daripada peminum arak ini, pelakunya dijanjikan hukuman di dunia apatah lagi di akhirat. Di akhirat, gambaran seksanya adalah seperti yang diingatkan oleh Nabi SAW: Sesungguhnya ALLAH menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Para sahabat bertanya:"Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab:"Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” Riwayat Muslim," katanya.