Tangguh program Hadi: UPM didakwa dapat tekanan kementerian

Iklan
Program syarahan akademik Abdul Hadi di UPM ditangguhkan.

SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) didakwa mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan selepas menangguhkan program syarahan akademik bertajuk Bicara Eksklusif Islam Membawa Kesatuan yang akan disampaikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Memetik laporan Malaysiakini, ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Arman Usman berkata, program yang sepatutnya berlangsung malam tadi ditangguhkan tanpa sebab yang kukuh.

Iklan
Iklan

"Perkara ini pun hasil daripada beberapa desakan daripada pihak naib canselor sendiri, (yang) ditekan oleh pihak belakang.

"Jadi disebabkan NC (naib canselor) sendiri menyeru supaya kita menangguhkan program ini. Disebabkan sekatan-sekatan di belakang daripada pihak kementerian sendiri," katanya selepas program Solidariti Buat Kebebasan Akademik yang Telah Mati di Dewan Kolej Pendeta Za'ba, UPM malam tadi.

Iklan

Beliau ditanya sama ada mereka telah mendapat penjelasan lanjut daripada naib canselor universiti itu berhubung penangguhan tersebut.

Arman menjelaskan, pada 18 November, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman memaklumkan penangguhan berkenaan dengan memuat naik sepucuk surat UPM menerusi laman Facebook Presiden Pas.

Iklan
Surat yang memaklumkan penangguhan program itu dimuat naik menerusi laman Facebook Presiden Pas.

Dalam surat itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM meminta Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) selaku penganjur Karnival Inspirasi Putra untuk menangguhkan program bertajuk Slot Bicara Eksklusif bersama Abdul Hadi.

HEP UPM memaklumkan, ia atas sebab yang tak dapat dielakkan dan slot itu akan diganti dengan sesi Wacana Intelek yang akan diadakan kelak.

Sementara itu, perkara sama turut disuarakan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM), Muhammad Hakim Paimin yang percaya tekanan tersebut dilakukan atas kepentingan peribadi pihak tertentu.

"PMIUPM percaya surat penangguhan program tersebut dikeluarkan disebabkan tekanan daripada tangan-tangan ghaib yang memperalatkan universiti untuk kepentingan peribadi seperti yang terhad di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"PMIUPM menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan KPM yang dilihat tidak bertanggungjawab dalam mendukung aspirasi kebebasan akademik dan pemerkasaan autonomi universiti yang dibawa oleh Menteri Pendidikan, Maszlee Malik," katanya dalam satu majlis solidariti yang sama.

Selain Arman dan Muhammad Hakim, turut hadir menyuarakan ketidakpuasan hati mereka ialah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin dan Pengerusi Siswa Pas, Aiman Mohd Yusof.

Satu memorandum akan diserahkan pada Jumaat ini (22 November), jam 10 pagi di hadapan bangunan KPM, Putrajaya bagi menuntut penjelasan sekatan kehadiran Abdul Hadi.

Muhammad Ikhwan berkata, Maszlee harus memberikan penjelasan mengenai pendirian KPM dan garis panduan yang sebenar untuk menjemput Abdul Hadi hadir sebagai tetamu sesebuah program di universiti.

"Kita mahukan kebebasan akademik sebenar seperti yang sering diucapkan oleh Maszlee yang sepatutnya (universiti) bebas untuk berpolitik tanpa ada sekatan.

"Tapi malangnya ia didalangi oleh pihak kementerian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Program Hadi di UPM ditangguhkan