KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pagi ini bermula lewat dua minit selepas bacaan doa apabila jumlah Ahli Parlimen (MP) yang hadir tidak mencukupi korum yang ditetapkan.
Usul tidak cukup korum itu ditimbulkan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md menjemput Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menjawab soalan pertama yang dikemukakan oleh Datuk Dr Hassan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi soal jawab lisan.
"Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Peraturan Mesyuarat, saya lihat korum tak cukup,” kata Abdul Rahman sambil memegang buku Peraturan Mesyuarat Dewan.
Mohamad Ariff yang dimaklumkan tentang perkara itu kemudian mengira sendiri kehadiran MP sebanyak dua kali sebelum mendapati hanya 24 MP yang hadir ketika itu.
Keadaan itu memaksa Mohamad Ariff mengarahkan bentara supaya membunyikan loceng sekali lagi bagi memberi peringatan kepada MP supaya memasuki dewan untuk menghadiri persidangan.
Selepas loceng dibunyikan, empat lagi MP menyertai sesi tersebut dan sidang bermula seperti biasa dengan Muhammad Bakhtiar menjawab soalan pertama berkenaan usaha kementerian mempromosi budaya masyarakat di negara ini di peringkat antarabangsa.
Mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Bilangan 13 (1), cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 ahli (MP) dengan tidak termasuk pengerusi.
MP Subang Wong Chen dalam laman Facebooknya turut memuat status ketidakhadiran MP dengan berkata:"Kami perlukan 26 (MP) untuk bersidang.
Persidangan ditangguhkan selama dua minit...prosiding kemudian diteruskan dengan 28 MP pagi ini dengan hanya seorang menteri hadir dan lima timbalan menteri. Kerajaan perlu ambil perhatian,” katanya. - Bernama