Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah tawar kelengkapan eksklusif

Iklan
Syed Saddiq (empat dari kiri), Ameer (tiga dari kiri) dan Ahmad Izham (dua dari kanan) bersama maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia selepas gimik pelancaran Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah di Mydin' di Mydin USJ, Subang semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

SUBANG JAYA - Persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah tahun depan pasti lebih meriah dan bergaya dengan kehadiran koleksi kelengkapan eksklusif persekolahan karakter adiwira, Ejen Ali.

Koleksi eksklusif kelengkapan persekolahan itu terhasil selepas Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berkolaboratif buat julung kali bersama syarikat gergasi media, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) dan Wau Animation menerusi kempen Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah di Mydin.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, sebagai syarikat pemborong dan peruncit tempatan, pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Primeworks Studio bagi mempergiatkan lagi kempen tersebut yang dijangka dapat menarik ramai kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan pada tahun depan.

Menurutnya, kempen yang akan berlangsung selama dua bulan bermula 1 Disember ini dan berakhir pada 31 Januari 2020 merupakan salah satu komitmen pihaknya untuk mengangkat dan menonjolkan hasil karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

Iklan

"Mydin komited menyediakan kelengkapan persekolahan dengan harga yang kompetitif dan berbaloi.

"Menerusi kelengkapan persekolahan koleksi Ejen Ali, antara yang kita tawarkan adalah set uniform lengkap sekolah, stoking, bekas makanan, botol air, alat tulis, baju T eksklusif Ejen Ali dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah di Mydin’ di Mydin USJ di sini semalam.

Iklan
Syed Saddiq (tengah) dan Ameer (kanan) melihat koleksi eksklusif kelengkapan sekolah Ejen Ali selepas pelancaran Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah di Mydin' di Mydin USJ, Subang semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar.

Ameer berkata, kempen kali ini juga lebih istimewa kerana orang ramai khususnya anak-anak berpeluang memiliki koleksi daripada karakter filem Ejen Ali yang hanya boleh didapati secara eksklusif di cawangan Mydin seluruh Malaysia.

Menurutnya, dengan setiap pembelian berjumlah RM50 ke atas, pembeli boleh mendapatkan satu kad figura karakter Ejen Ali secara percuma.

"Mereka boleh mengumpul semua enam koleksi kad karakter adiwira dan berpeluang membeli satu kotak set permulaan ejen.

"Pelanggan yang membeli barangan daripada 20 jenama yang bekerjasama dengan kita, antaranya Vitagen, Dynamo dan Carrie Bacbuster juga akan mendapat satu ekstra kad figura karakter Ejen Ali,” katanya.

Beliau berkata, bagi merancakkan lagi kempen tersebut, pelbagai aktiviti turut dirangka, antaranya program Jelajah Misi Ejen Ali yang akan berlangsung di Mydin Seremban 2, Mydin Parit Buntar, Perak dan Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Aktiviti jelajah ini akan dimeriahkan dengan kemunculan maskot karakter utama filem Ejen Ali The Movie iaitu Ejen Ali dan Ejen Alicia di 20 cawangan terpilih Mydin.

"Aktiviti lain yang dijangka menjadi tarikan nanti adalah pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen, slime making, kuiz dan peraduan Snap&Win. Pelanggan juga berpeluang memenangi baucar tunai Mydin bernilai RM100 secara percuma.

"Kita juga memperkenalkan menu istimewa yang cukup sinonim dengan karakter Ejen Ali iaitu nasi lemak tempoyak udang yang sedia dimakan dan hanya terhad pada kempen kembali ke sekolah ini. Ia boleh didapati di semua cawangan pasar raya besar Mydin seluruh negara pada harga RM3.99," katanya.

Ameer berkata, sempena kempen tersebut, pihaknya turut menggerakkan tabung Mydin Prihatin bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk turut sama memiliki koleksi kelengkapan persekolahan Ejen Ali.

Sementara itu, Ahmad Izham berkata, beliau melihat kerjasama dengan Mydin menerusi kempen tersebut sebagai platform terbaik memperluaskan jenama Ejen Ali kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, penghasilan animasi popular dengan kerjasama Wau Animation menjadikan karakter Ejen Ali sebagai role model yang positif kepada orang ramai.