MARAN - Sebuah rumah musnah dalam kebakaran berhampiran Surau Jalan Jangkong dekat Kampung Kuala Sentul di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.08 malam itu, rumah jenis separuh kekal terbabit musnah 100 peratus.
Iklan
Iklan
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penolong Penguasa Bomba Anuar Hassan berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affendy Sulaiman dengan dua jentera FRT dan EMRS bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu tujuh anggota dari BBP Jengka.
"Sebaik tiba memang terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 3 x 40 kaki persegi di lokasi terbabit.
"Api berjaya dikawal pada 8.38 malam dan operasi tamat pada 9.29 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut kerana difahamkan penghuni tiada di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.